Followers

Saturday, 23 April 2011

.: Air Mata Seorang Isteri & Doa Seorang Anak .:

“Kau jugak yang degil. Dulu abah suruh kau kahwin
dengan si Malik tu tapi kau tak nak. Kononya hati kau
belum terbuka lah itu lah ini lah. Kau nak sangat
budak keparat tu. Kau tengok sekarang apa jadi. Huh.
Dasar Penyangak! Kalau kau kawin dengan Malik, kau dah
jadi bini Ustad sekarang.”


“Mak dah nasihat pada kau dulu. Ita tak
nak dengar. Ita nak juga sehidup semati dengan si
Kamal tu. Kau kata kau boleh ubahkan perangai dia?
Sekarang apa jadi? Mak kesiankan Zizi. Budak tu tak
berdosa tapi asyik jadi sasaran panas baran suami kau
tu.”


“Mak, Abah! Itu kan semua dugaan Tuhan.
Masalah Ita tahulah Ita selesaikan. Lagipun abang
Kamal tetap suami Ita yang sah kan? Dah lah Mak, Ita
datang ni pun pasal si Zizi dah rindukan neneknya. Ita
balik dulu ya Mak. Nanti abang Kamal balik Ita tak de
rumah pula.”


“Susah-susah kau tinggalkan sudah si Kamal
penyangak tu. Daripada hidup kau sengsara lebih baik
berjanda!”


“Abah!”


Ita terus mengangkat kaki lalu keluar dari
rumah Bapanya, Pak Leh. Ita tidak sanggup mendengar
cemuhan dari ibu-bapanya. Ita sedar dia yang telah
memilih pasangan hidupnya sendiri dan akan menanggung
setiap apa yang terjadi padanya hanya kerana cintanya
yang lama terjamin sewaktu berada di bangku sekolah
lagi. Ibu-bapanya tidak merestui perhubungan antara
Ita dan Kamal. Namum, Ita tetap berdegil dan mahu
sehidup semati dengan Kamal yang kini sudah menjadi
suaminya selama 9 tahun dan mempunyai seorang cahaya
mata Zizi yang berumur 8 tahun.


Ita tidak sangka perangai suaminya semakin
teruk. Dahulu, sewaktu bercinta bermacam-macam Kamal
janji pada Ita. Kamal berjanji akan menjaga Ita dan
membina sebuah mahligai yang bahagia bersama Ita. Ita,
yang asyik mendengar kata-kata manis, berbunga-bunga
dari mulut Kamal terhasut lalu sanggup hidup semati
dengannya walau apa pun terjadi.


“Ita, Kamal terlalu mencintai Ita. Kamal
tak sanggup berpisah dengan Ita. Kamal janji Kamal
akan membahagiakan hidup Ita. Kita kahwin eh Ita?”


“Bu, Bu,” Zizi, anak Ita mengejutnya dari
lamunan.


“Ibu kenapa nangis?”


“Tak ada apa- apa sayang. Yok balik. Kita
naik teksi aje lah,” Ita mengesat air matanya.


*****************************


“Eh, Abang dah balik? Mak dan Abah kirim salam,” kelam
kabut Ita salam Kamal sesampainya di rumah.


“Eh Ita! Kau tak reti duduk rumah eh? Aku
balik dah berapa jam, kau masih di luar merayap! Pergi
rumah Mak tu buat apa? Ngadu hal rumah lah tu?” Kamal
meninggikan suara.


“Zizi rindukan nenek dia. Jadi Ita pergi
sekejap. Ita ingat abang balik malam?”


“Dah aku nak keluar!”


“Abang tak solat Jumaat ke?”


“Eh Pompan! Kau jangan nak sibuk-sibuk
dengan hal aku eh. Aku nak sembahyang ke tak nak tu
aku punya pasal!” Kamal menghentak pintu lalu keluar
dari rumah itu.


Ita kecewa. Sungguh kecewa kerana gagal
membentuk suaminya yang tidak pernah kenal erti
ibadah. Pergelokan hidup Kamal dilumuri dengan dosa.
Tapi apakan daya Ita. Sebagai isteri dia harus
mematuhi perintah suaminya dan sentiasa berada di
sisinya.


“Bu, Bu, bangun. Ayah mabuk lagi ke bu?
Bu, Zizi takut. Nanti ayah pukul Zizi,”


“ZIZI! Kenapa mainan kau letak di sini?
Nak Ayah buang. Sini kau budak!” jerit Kamal lalu
mencampakkan anak patungnya ke arah muka anaknya itu.


“Abang! Kalau nak marah Ita pun jangan
lepaskan pada anak kita. Abang, Zizi masih kecil bang.
Belum tahu erti kehidupan. Janganlah abang jadikan dia
sebagai sasaran. Pukul Ita jangan pukul Zizi Bang,”
Ita membela Zizi lalu memeluknya.


“Pergi Mampus dengan anak kau tu!”


Ita tidak mampu berbuat apa-apa. Anak yang
kecil itu sentiasa dijadikan sasaran lelaki yang tidak
bertanggung jawab itu. Setiap hari, Kamal pulang
dengan keadaan mabuk. Arak yang diminumnya sudah
menjadi air sehariannya. Untuk memburukkan lagi
keadaan, nafkah tidak pernah diberi kepada anak
bininya. Setiap pekerjaan yang dilakukan pasti tidak
bertahan lama. Majikannya semua tidak tahan dengan
perangai Kamal yang panas baran dan asyik dengan
araknya yang berbotol-botol.


******************************


“Kenapa dengan pipi Zizi? Zizi kena pukul
ke?” tanya guru sekolah Zizi.


“Semalam Zizi jatuh cikgu. Cikgu, Zizi nak
balik. Ibu dah tunggu di luar. Bye Cikgu.” Zizi cuba
menyembunyikan hal sebenar yang dia telah dipukul
bantai oleh bapanya, Kamal.


“Bu. Tadi cikgu tanya kenapa pipi Zizi
lebam.”


“Zizi cakap apa dengan cikgu?”


“Zizi kata Zizi jatuh. Kan ibu cakap tak
baik burukkan keluarga sendiri?”


Ita memeluk erat Zizi.


“Ya nak. Macam mana jahat pun ayah Zizi,
dia tetap ayah Zizi kan? Zizi berdoa ya nak semoga
ayah Zizi berubah.”


Ita tidak dapat menahan sebak melihat
anaknya Zizi yang sentiasa dipukul oleh Kamal. Ita
pasrah. Ita tidak tahu apa yang hendak dilakukan untuk
berubah suaminya. Ita juga kesal kerana biarkan
anaknya Zizi menjadi korban perangai buruk Kamal. Ita
tidak mampu untuk melawan suaminya yang sangat
dicintai. Ita, yang bersifat lembut sentiasa berdiam
apabila dimarahi suaminya. Sampai bila Ita mampu
bertahan dengan kehidupannya ini?


“Abang, maafkan Ita kalau Ita bertanya
suatu perkara?” Ita cuba berbaik dengan suaminya pada
suatu malam.


“Apa dia?” tanya Kamal ringkas sambil
membaca suratkhabar.


“Abang, Ita tahu sebagai isteri Ita harus
patuh pada cakap suami, tapi Ita harus tegur abang
kalau abang silap.” Kamal meletakkan suratkhabarnya
lalu merenung tajam ke arah isterinya itu.


Ita tunduk, takut melihat tenungan
suaminya yang garang itu.


“Abang, bertaubatlah bang. Kita hidup tak
lama. Kalau boleh, demi Ita, demi Zizi abang buanglah
tabiat minum arak tu. Kembali pada Allah bang,” Ita
menahan sebak.


“Abang kami semua sayangkan Abang,”


Sebelum Ita dapat menyambung perkataanya
Kamal menyampuk.


“Ita! Ini kehidupan aku. Aku beri kau
amaran. Kau jangan cuba nak nasihat aku. Pergi Jahanam
dengan kau punya ibadah! Kalau kau dah tak tahan kau
boleh keluar dari rumah ini!” Kamal mengangkat kaki
lalu keluar dari rumah itu.


Sikap Kamal yang tidak suka ditegur
membuat Ita semakin pilu. Ita pasrah.


“Oh Tuhan. Kau bukalah hati Suamiku untuk
kembali ke pangkal jalan. Aku tidak sanggup hidup
dengan penderitaan ini,” Ita menangis.


“Bu,” Zizi muncul di pintu bilik Ita.


“Zizi!” Ita memeluk anaknya.


“Bu, Zizi benci ayah. Yok kita pergi rumah
nenek bu?”


“Tidak nak. Bersabar ya nak. Sudah nasib
kita macam gini nak. Zizi sentiasa berdoa ya nak. Zizi
minta ampun pada Allah atas dosa ayah Zizi. Zizi minta
Allah tolong Zizi dan Ibu ya nak,”


Anak sekecil 8 tahun itu terpaksa
menjalani hidup yang begitu seksa, sentiasa dipukul,
dimaki hamun oleh seorang bapa kandung yang tidak
berkerimanusiaan, tanpa belaian kasih sayang dari
seorang bapa. Ibunya sahaja yang dapat Zizi mengadu.
Namum, walaupun mereka hidup dengan penuh
kesengsaraan, Ita tetap bersabar dan sentiasa mengajar
anaknya untuk kembali pada Allah swt.


******************


Pada suatu malam ketika Kamal baru pulang
dari kedai Kopi, Kamal terdengar suara anaknya di
dalam bilik Zizi. Kamal membuka pintu bilik Zizi.


“Oh Allah. Tolonglah Zizi. Ampunkan dosa
ayah Zizi. Jadikan dia seorang yang baik. Kesiankan
lah Ibu, Zizi,” Zizi, dengan telekung membungkusi
tubuh kecilnya itu, duduk di atas sejadah kecil,
menangis tersedu-sedu sambil menadahkan tangannya
berdoa yang pernah diajar oleh Ita.


Kamal mendekati Zizi. Tangan kecil yang
sedang menadah itu basah dipenuhi air mata seorang
insan yang tidak berdosa. Tiba-tiba, Kamal menistiskan
air mata yang jatuh ke atas kepala anak kecil itu.
Hati kecil lelaki ego itu tersentuh dengan doa anak
yang telah dipukul, dimaki hamun. Muncul perasaan
kesal di lubuk hati Kamal.

Air mata anaknya telah membuat Kamal sedar. Kamal
merendahkan tubuhnya ke arah Zizi. Kamal terus memeluk
Zizi lalu meraung.


“Maafkan Ayah Zizi. Maafkan Ayah. Ayah
janji tak buat lagi nak,” Kamal tersedu-sedu.


“Zizi sayang Ayah!”


Air mata seorang insan yang masih belum
faham erti kehidupan, yang menjadi korban seorang ayah
yang zalim telah merubah segala-galanya. Telah membawa
seorang manusia durjana ke pangkal jalan. Begitu kuat
kuasa sesebuah doa kepada Allah s.w.t

~SubhanAllah~~


No comments: